Kes Zara: JAKIM Arah Masjid Seluruh Wilayah Anjur Bacaan Yasin dan Solat Hajat

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Allahyarham Zara Qairina pada Khamis, 14 Ogos ini, selepas solat Maghrib.

Arahan itu selaras dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, sebagai tanda solidariti, kasih sayang dan keprihatinan umat Islam terhadap keluarga mangsa.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya akan memastikan semua pengurusan masjid melaksanakan majlis tersebut dengan penuh tertib dan mengikut syiar Islam.

“Majlis ini bukan sekadar doa untuk kesejahteraan Allahyarham, malah simbol kebersamaan kita sebagai umat Islam dalam menghadapi ujian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyeru seluruh umat Islam, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk hadir dan menyertai majlis di masjid atau surau masing-masing.

“Semoga doa yang dipanjatkan secara bersama ini menjadi sumber kekuatan kepada keluarga Allahyarham, selain amal jariah berterusan buat beliau,” katanya.

JAKIM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina, dengan doa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat