PUTRAJAYA: Negara hari ini bakal tertumpu kepada Mahkamah Kota Kinabalu apabila lima remaja bakal dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurut laporan Buletin TV3, seawal pukul 7 pagi tadi, kawasan sekitar mahkamah dibanjiri kehadiran anggota keselamatan, petugas media serta orang awam yang ingin mengikuti perkembangan terkini kes berprofil tinggi itu.
Difahamkan, kelima-lima remaja terbabit akan diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing dan bakal didakwa di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan.
Mereka dibawa dari Pusat Temu Bual Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Polis Kepayan ke mahkamah pagi ini.
Dalam pada itu, Persatuan Peguam Sabah mengingatkan bahawa Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melarang sebarang bentuk penerbitan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terlibat dalam prosiding mahkamah.
Persatuan itu turut menggesa orang ramai untuk menghormati proses liputan dan tidak mengganggu petugas media.
Pihak berkuasa kemudiannya mengehadkan akses ke kawasan mahkamah hanya kepada pengamal media berdaftar.
Sekitar jam 7.30 pagi tadi, polis mula memasang sekatan jalan raya di pintu masuk utama mahkamah. Seramai 80 anggota keselamatan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran persekitaran kompleks.
Untuk rekod, Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar, Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya.
Baca juga: