Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Usaha memperjuangkan agenda reformasi tidak akan bernilai jikalau pengkhianatan ke atas mandat rakyat terus dinormalisasikan.
Perkara itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fuziah Salleh apabila menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan semakan oleh Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kes melibatkan bon parti menjadi peringatan jelas bahawa amanah rakyat tidak boleh dipandang ringan.
“Keputusan hari ini menunjukkan bahawa mandat yang diberi oleh rakyat bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Apabila seseorang dipilih atas nama parti dan perjuangan tertentu, ada amanah yang datang bersama,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook beliau pada Rabu.
Ujar beliau, tindakan pemimpin menjejak keluar daripada parti setelah menang atas tiket parti itu
bukan sahaja melanggar perjanjian, malah mencemarkan prinsip asas demokrasi yang seharusnya dipertahankan.
“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi mengkhianati mandat rakyat bukan perkara kecil dan tidak boleh dianggap perkara biasa.
“Kita tidak boleh bercakap tentang reformasi jika dalam masa yang sama kita merelakan pengkhianatan terhadap mandat rakyat khususnya apabila seseorang meninggalkan parti selepas dipilih atas tiket tersebut,” tegas Fuziah Salleh.
Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk mempertahankan nilai amanah dan integriti bagi memastikan agenda reformasi terus relevan dan bermakna.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyemak semula keputusan membenarkan PKR mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah perlu dibayar daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti itu.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan hanya akan membenarkan semakan jika terdapat keadaan khas dan luar biasa bagi mengelakkan ketidakadilan.
Baca juga:








