TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kesepakatan utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan kunci utama dalam usaha memperkasakan rakyat di seluruh negara, khususnya di Sabah.
Ketika merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat 2025 di Tawau, beliau mengumumkan tiga inisiatif penting yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
Tiga inisiatif tersebut ialah Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Pelancaran Program Solar MADANI dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah.
“Semua ini tidak dapat dicapai tanpa perpaduan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menjunjung agenda pembangunan rakyat,” ujar beliau di hadapan ribuan pengunjung.
Bagi Projek Siap Tamu Desa Sabah, kerajaan telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh negeri.
Ini akan memberikan lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung serta meningkatkan daya saing ekonomi tempatan.
Sementara itu, Program Solar MADANI yang dilancarkan secara rintis di Tawau, melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar di kawasan kampung, dilihat sebagai langkah strategik ke arah keselamatan dan kemampanan tenaga di kawasan pedalaman.
Projek ini turut melibatkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penglibatan aktif komuniti setempat.
“Kerajaan MADANI telah memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan kampung di seluruh negara.
“Selain menjamin keselamatan, ia juga membantu mengurangkan kos dengan penggunaan tenaga boleh baharu,” jelas Perdana Menteri.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai dorongan kepada usahawan tempatan dan sebagai usaha meneruskan naratif menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan.
Beliau juga sempat melakukan tinjauan mesra ke gerai-gerai agensi dan jabatan Persekutuan yang menyertai program tersebut, sekali gus menilai keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat setempat.
Program MADANI Rakyat 2025 merupakan platform penting dalam menyampaikan dasar, program dan inisiatif kerajaan secara langsung kepada rakyat serta memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan komuniti setempat.