PARLIMEN | Tahap kesihatan mental belia negara ini yang berusia 15 hingga 30 tahun memuaskan mengikut mengikut kajian Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pengukuran itu mengambil kira tujuh domain yang mempengaruhi kesihatan mental belia iaitu minda sihat, gaya hidup, persekitaran, kepribadian individu, pengalaman hidup, pengendalian tekanan dan sokongan sosial.

“Kajian ini mencatatkan indeks kesihatan mental belia berada pada tahap sederhana, memuaskan dengan skor 71.91, ia menunjukkan bahawa belia Malaysia berisiko sederhana berhadapan dengan masalah kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai inisiatif kementerian dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan belia termasuk penyediaan khidmat kaunseling dan platform sokongan komuniti secara percuma.
Kata Hannah, KBS juga menyediakan beberapa langkah pencegahan termasuk program Rakan Muda melalui 10 Gaya Hidup dan dilihat dapat memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental belia.
“Pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi dilibatkan sebagai rakan pelaksana penganjuran program atau aktiviti Rakan Muda.
“Rakan Prihatin sebagai salah satu Gaya Hidup di bawah Rakan Muda turut melaksanakan pelbagai program kesihatan mental, jati diri dan kecerdasan emosi antaranya melalui kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan pelaksana.
“Selain itu, Program BeFrienders Webinar dan Mentalbuoy Lifesaver juga menganjurkan aktiviti reruai dalam pelaksanaan program ikonik KBS seperti penawaran saringan kesihatan mental dan advokasi,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan Program Kem Belia Tahun 2025 turut diperluaskan ke peringkat daerah yang mana sebanyak 115 program akan dilaksanakan membabitkan penyertaan belia seramai 5,750 orang.
Baca juga: