Kesilapan Jalur Gemilang: PAS sokong tindakan tegas tanpa pilih kasih

PETALING JAYA: PAS mengakui kesilapan yang dilakukan parti itu dalam penggunaan imej Jalur Gemilang pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 yang dianjurkan PAS Terengganu baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun permohonan maaf secara terbuka telah dilakukan oleh PAS Terengganu, parti itu bersetuju dan akur bahawa tindakan tegas oleh pihak berkuasa perlu dilaksanakan.

“Sejujurnya PAS bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan yang lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian.

“Justeru, PAS mengalu-alukan tindakan dalaman yang diambil oleh pihak- pihak terlibat berkait kes-kes yang berlaku ini, PAS juga menyokong langkah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawabnya bawah undang-undang secara telus, adil dan tegas bagi memastikan ketidakpekaan, kecuaian atau kesilapan sama tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, PAS Terengganu memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan TMT 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tindakan dalaman turut diambil terhadap petugas terlibat.

“Sebagai warganegara, PAS percaya semua pihak wajib menunjukkan rasa hormat dan
bangga tertinggi terhadap simbol-simbol negara pada setiap masa dan keadaan sebagai
cerminan jati diri kebangsaan dan patriotisme kita,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat