PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tampil menyuarakan pandangan tegas berhubung polemik politik yang timbul susulan desakan Pemuda UMNO agar parti itu keluar daripada Kerajaan MADANI.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menekankan bahawa isu tersebut perlu dinilai secara rasional, berfakta dan berteraskan kepentingan negara, bukan semata-mata berdasarkan sentimen akar umbi atau percaturan kuasa jangka pendek.
“Menegakkan kebenaran dan keadilan,” tegas beliau dalam kenyataan media pada Ahad.
Beliau berkata, sebarang keputusan politik, khususnya melibatkan kedudukan sesebuah parti dalam kerajaan, tidak wajar dikaitkan dengan usaha mencabar keputusan kehakiman atau membela individu yang telah disabitkan bersalah melalui proses undang-undang.
“Prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa mesti dihormati.
“Penghormatan terhadap keputusan mahkamah merupakan asas kepada kepercayaan rakyat terhadap negara hukum dan tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar politik,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa percubaan mempolitikkan proses kehakiman hanya akan menghakis integriti demokrasi dan memperdalam krisis kepercayaan awam.
Mengulas kedudukan Kerajaan MADANI, Ahmad Fahmi berkata, walaupun kerajaan masih mempunyai majoriti di Parlimen, politik negara tidak boleh diurus sekadar melalui angka kerusi.
“Setiap parti yang memilih untuk bersama kerajaan memikul tanggungjawab keinstitusian dan moral untuk memelihara kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa polemik politik berpanjangan di peringkat pusat berpotensi menjejaskan kelancaran pentadbiran di peringkat negeri termasuk penyelarasan dasar dan pelaksanaan pembangunan.
Katanya lagi, usaha membina kekuatan politik Melayu Islam tidak boleh dipisahkan daripada kerangka keadilan, tadbir urus baik dan tanggungjawab nasional.
“Politik yang disempitkan kepada penyatuan identiti semata-mata berisiko mengabaikan realiti masyarakat majmuk dan cabaran kosmopolitan dunia hari ini,” ujar beliau.
Sebaliknya, beliau berkata, bangsa Malaysia wajar dibina melalui keadilan institusi, integriti kepimpinan dan keupayaan mentadbir untuk semua rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa keutamaan negara ketika ini ialah pemulihan ekonomi, keadilan sosial, pengukuhan institusi dan pembinaan bangsa Malaysia yang inklusif di bawah kepimpinan kerajaan sah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Segala perbezaan politik wajar disalurkan melalui proses demokrasi yang matang, beretika dan bertanggungjawab.
“ABIM akan terus menyokong politik yang menegakkan kebenaran dan keadilan serta menolak sebarang pendekatan yang mengorbankan kepentingan negara demi agenda sempit jangka pendek,” katanya.








