KESUMA cadang lanjut tempoh ‘Intern’

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang untuk melanjutkan lagi tempoh latihan praktikal (internship) dari tiga bulan kepada sembilan bulan bagi mendedahkan graduan dengan situasi sebenar alam pekerjaan.

Menteri KESUMA, Steve Sim berkata, kementerian kini sedang berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti berhubung perkara itu.

“Sebagai contoh, graduan undang-undang menjalani jawatan ‘chambering’ di firma guaman di mana mereka boleh belajar di tempat kerja dan melalui amalan.

“Doktor dikehendaki menjalani latihan ‘housemanship’ selama satu atau dua tahun. Ini adalah strategi untuk memastikan graduan dapat meningkatkan kemahiran mereka sambil belajar di tempat kerja semasa latihan praktikal mereka,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sim berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mengenai usaha kementerian menjalinkan kerjasama dengan KPT bagi memastikan lebih ramai graduan berkualiti.

Dalam pada itu, tambah Sim, graduan yang menjalani latihan industri akan ditingkatkan kebolehpasaran mereka melalui program latihan amali berstruktur, berbanding sebelum ini sering dikaitkan dengan tugas remeh seperti disuruh melakukan kerja fotostat atau membancuh kopi.

Katanya, Insentif Latihan Amali (ILHAM) menjadi pendekatan strategik yang penting untuk memperkasakan kemahiran golongan itu.

Mengikut data pihaknya, beliau berkata, lebih 40 peratus daripada pelatih yang menjalani latihan di bawah ILHAM berjaya mendapat pekerjaan di syarikat sama yang mereka jalani latihan industri.

“Sebuah lagi kerjasama antara dengan KPT adalah projek ILHAM KESUMA. Dengan Kerjasama universiti yang ada, kita menawarkan latihan atau program amali berstruktur.

“Jadi ‘intern’ (pelatih) bukan pergi kerja sebagai ‘intern’ saja untuk angkat beg dan bancuh kopi, tetapi berstruktur kerana mereka benar-benar dapat mempelajari ‘on the job’ (latihan langsung di tempat kerja) kemahiran tertentu dan berbayar.

“Mereka dibayar bukan untuk menjalani latihan industri secara percuma. Tapi di bawah program ini, kita menyasarkan lebih 20,000 hingga 30,000 peluang latihan alami ditawarkan kepada mahasiswa,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat