PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan bahawa penubuhan Majlis Perundingan Gig akan menjadi platform utama dalam menangani isu tawar-menawar atau ‘bidding’ dalam perkhidmatan e-hailing bagi memastikan kepentingan pemandu, platform dan pengguna berada dalam keadaan seimbang.
Menurut KESUMA, isu ‘bidding’ yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig termasuk Lestari Ekonomi Aktivis GIG Digital Malaysia (LEAD), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Pertubuhan Tenaga GIG Melaka (Tenaga GiG), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) serta Persatuan Penghantar dan Pemandu e-Hailing Sabah akan menjadi antara perkara awal yang dibincangkan.
“Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan selaras dengan Bahagian VI Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, yang dijangka dikuatkuasakan pada 2026.
“Majlis ini merupakan platform tripartit melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak untuk menasihati kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum serta isu kebajikan pekerja gig,” kata kementerian itu pada Rabu.
KESUMA berkata, majlis itu juga akan berfungsi sebagai platform dialog dan rundingan berterusan bagi menangani dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig.
Antara fokus utama ialah memastikan pendapatan pekerja gig lebih stabil, adil dan mampan.
“Isu bidding dalam kalangan pemandu e-hailing merupakan antara perkara awal yang akan dibincangkan di bawah majlis ini bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pemandu, platform dan pengguna,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, KESUMA turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan bagi menangani isu ini secara menyeluruh demi menjaga kebajikan pekerja gig dan kelestarian ekosistem ekonomi platform di negara ini.
Untuk info, Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan September lalu dan kini sedang dalam proses pewartaan sebelum dikuatkuasakan pada tahun depan.








