KESUMA gesa majikan swasta laksana kerja fleksibel tangani krisis tenaga

KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta disaran melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) termasuk bekerja dari rumah (BDR) sebagai langkah menyesuaikan operasi susulan peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan ekonomi global.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pendekatan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut KESUMA, pelaksanaan AKF atau Flexible Work Arrangements (FWA) mampu membantu organisasi beroperasi dengan lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti, selain memberi manfaat kepada majikan dan pekerja.

“Dalam konteks peningkatan kos tenaga susulan konflik di Asia Barat serta kebergantungan kepada pergerakan harian pekerja, pendekatan kerja fleksibel dilihat relevan termasuk melalui kaedah bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja dan model hibrid,” kata kementerian itu.

KESUMA berkata, pelaksanaan AKF adalah selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

“Di bawah peruntukan Seksyen 60P dan 60Q, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel daripada majikan dari segi waktu, hari atau tempat bekerja termasuk bekerja dari rumah,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan majikan tidak dibenarkan mengurangkan faedah pekerja.

“Majikan yang melaksanakan AKF tidak dibenarkan mengurangkan faedah pekerja seperti bayaran kerja lebih masa, cuti tahunan, cuti sakit serta bayaran hari rehat dan cuti umum,” ujarnya.

Dalam pada itu, KESUMA memaklumkan pihaknya melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan khidmat nasihat serta latihan bagi menyokong pelaksanaan AKF.

“JTKSM turut menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF 2024 yang merangkumi pelbagai aspek termasuk kaedah pelaksanaan serta tanggungjawab majikan dan pekerja,” katanya.

Sehubungan itu, KESUMA menggesa majikan mengambil langkah proaktif dengan menilai kesesuaian pelaksanaan AKF serta melaksanakannya secara berperingkat.

“KESUMA komited memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan terus seiring dalam mendepani cabaran global semasa,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat