KESUMA: Pasaran buruh makin stabil bukti keberkesanan dasar intervensi

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh agenda pembangunan tenaga kerja negara selaras dengan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus bagi Suku Tahun Keempat (ST4) 2025. 

Dalam satu kenyataan hari ini, KESUMA berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan intervensi dasar, program pembangunan kemahiran serta pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan secara bersepadu oleh KESUMA dan agensinya.

“… turut memperlihatkan momentum pasaran buruh yang semakin stabil dan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi semasa.

“Lebih membanggakan, kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencatat rekod tertinggi iaitu 56.6 peratus, menandakan peningkatan signifikan penglibatan wanita dalam ekonomi negara. 

“Pencapaian ini selari dengan pelaksanaan inisiatif strategik KESUMA melalui agensinya seperti TalentCorp yang memperkukuh program sokongan penyertaan wanita, termasuk inisiatif pemudahcaraan kembali bekerja, program mobiliti bakat serta kerjasama industri bagi menyediakan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan fleksibel,” katanya pada Khamis.

Tambah kementerian itu lagi, usaha berterusan memperkasa bakat wanita telah menyumbang secara langsung kepada peningkatan kadar penyertaan ini. 

“Pindaan Akta Kerja 1955 memperkenalkan cuti bersalin 98 hari, perlindungan daripada pemberhentian semasa hamil dan cuti bersalin, cuti paterniti 7 hari, serta peruntukan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) bagi menyokong keseimbangan kerjaya dan keluarga.

“Melalui TalentCorp, inisiatif Wanita MyWira termasuk Program Kembali Kerjaya (CCP) membantu wanita kembali bekerja melalui latihan semula dan pemadanan pekerjaan, dengan lebih 5,000 wanita mendapat manfaat pada tahun 2025.

“Dalam aspek kualiti pekerjaan, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa kekal rendah sekitar 1.3 peratus, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun kepada 35.3 peratus, mencerminkan penambahbaikan dalam padanan kemahiran dan pekerjaan,” ujarnya.

Menurut KESUMA, hal ini selari dengan revolusi dan pengukuhan program TVET, latihan berfokus industri dan kesepadanan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri di bawah Jabatan Tenaga Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran menerusi pemetaan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard (NOSS)) yang lengkap dengan Latihan Dalam Industri.

Ini merangkumi pelaksanaan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) di seluruh negara oleh HRD Corp bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dengan keperluan sektor bernilai tinggi, selain memastikan dana levi dimanfaatkan secara optimum, bukan sahaja untuk melatih pekerja syarikat dalam bidang berimpak tinggi, malah turut menyokong keupayaan majikan serta tenaga kerja perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi dan teknologi.

“Di samping itu, jaringan perlindungan sosial dan mobiliti tenaga kerja diperkukuh melalui pengenalan Skim Lindung 24 Jam serta Skim Lindung Kerjaya oleh PERKESO. Langkah ini diperkasakan lagi dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum RM1,700 yang memanfaatkan 4.4 juta pekerja, selain sokongan Dasar Gaji Progresif yang melonjakkan gaji median negara menghampiri RM3,000 selaras dengan peningkatan produktiviti,” jelasnya.

Pendekatan menyeluruh KESUMA dalam pembangunan bakat, perlindungan sosial dan reformasi pasaran buruh telah menyumbang secara langsung kepada penurunan kadar pengangguran dan peningkatan penyertaan tenaga buruh negara.

Secara keseluruhannya, pencapaian kadar pengangguran ini membuktikan bahawa dasar dan inisiatif tenaga kerja yang dilaksanakan secara konsisten telah menghasilkan impak yang terukur, inklusif dan mampan kepada pasaran buruh Malaysia.

Anda Mungkin Berminat