KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan komitmen penuh untuk memperkukuh agenda pekerjaan negara agar lebih berkualiti, berasaskan kemahiran dan mampu meningkatkan pendapatan rakyat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, dapatan Malaysia Economic Monitor April 2026 oleh Bank Dunia selari dengan usaha kerajaan memperkukuh pasaran buruh negara.
Menurut beliau, cabaran utama ketika ini bukan sekadar mewujudkan peluang pekerjaan tetapi memastikan pekerjaan yang ditawarkan benar-benar sepadan dengan kemahiran serta bersifat produktif.
“Pelaburan dalam AI, digitalisasi dan sektor bernilai tinggi perlu disokong oleh ekosistem kemahiran yang responsif terhadap keperluan industri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pekerja menerima pulangan pendapatan yang lebih baik dan setimpal dengan kemahiran dimiliki.
Katanya, KESUMA akan terus memperkukuh ekosistem MyMahir melalui TalentCorp, termasuk Future Skills Talent Council (FSTC), MyCOL dan AI Readiness Index (AIRI).
Inisiatif itu bertujuan menyelaraskan pembangunan kemahiran dengan keperluan industri semasa dan masa depan.
Selain itu, KESUMA turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan kerjaya dalam bidang TVET, STEM, digital dan AI.
Ramanan turut menegaskan peranan MyFutureJobs dalam meningkatkan padanan pekerjaan serta kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Menurutnya, usaha itu juga melibatkan perlindungan sosial dan sokongan kepada pekerja yang terkesan akibat perubahan teknologi dan ekonomi global.
“Matlamat akhir adalah memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pekerjaan lebih baik, gaji lebih bermakna dan peluang lebih adil untuk rakyat,” katanya.








