KESUMA Perjelas Isu Ketiadaan Wakil Pekerja ke ILC

PETALING JAYA: Ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland baru-baru ini berpunca daripada ketiadaan barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), organisasi induk kesatuan sekerja terbesar negara.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan isu yang dibangkitkan beberapa pihak berhubung ketidakhadiran wakil pekerja dalam persidangan bertaraf dunia itu.

Menurut KESUMA, situasi itu bermula apabila Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 mengarahkan MTUC mengadakan pemilihan semula kepimpinan dalam tempoh 90 hari yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).

“Pemilihan yang sepatutnya dijalankan pada Mei 2025 telah ditangguhkan ke 10 Ogos 2025, menyebabkan MTUC tidak mempunyai kepimpinan sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC,” jelas kenyataan itu.

KESUMA berkata, JBK hanya ditubuhkan untuk mengurus pemilihan semula MTUC dan tidak diberi mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan wakil pekerja ke forum antarabangsa.

“Malah, pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC,” kata kenyataan itu.

Bagi pemilihan delegasi Malaysia ke ILC, KESUMA berkata, ia dilakukan secara telus mengikut garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta telah mendapatkan nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status semasa MTUC.

“Justeru, sebarang dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja adalah tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat,” katanya.

Kerajaan Malaysia, menurut KESUMA, kekal komited kepada prinsip tripartisme serta mendukung hak kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform antarabangsa.

Dalam pada itu, KESUMA menggesa supaya pemilihan semula MTUC diselesaikan segera demi menjaga maruah pergerakan kesatuan sekerja dan memastikan penyertaan penuh Malaysia dalam ILC tahun hadapan.

Sebelum ini, beberapa laporan media menyebut MTUC mengkritik kerajaan kerana didakwa menghalang penyertaan wakil pekerja Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-114 di Geneva, Switzerland, yang berlangsung dari 3 hingga 12 Jun ini.

Anda Mungkin Berminat