Ketegangan Sempadan Memuncak, Kemboja Undur Diri Sukan SEA ke-33

PHNOM PENH: Kemboja mengumumkan penarikan diri daripada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-33 yang sedang berlangsung di Thailand atas faktor keselamatan, susulan peningkatan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC) memaklumkan bahawa seluruh kontinjen negara itu ditarik keluar daripada temasya serantau yang dibuka secara rasmi pada Selasa malam di Stadium Rajamangala, Bangkok.

“Berdasarkan kebimbangan serius serta permintaan daripada keluarga atlet untuk membawa pulang ahli keluarga mereka dengan segera, NOCC mengambil keputusan menarik balik keseluruhan pasukan dan mengatur kepulangan segera mereka ke Kemboja demi keselamatan,” kata Setiausaha Agung NOCC, Vath Chamroeun dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sukan SEA edisi kali ini dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember.

Menurut NOCC, Kemboja pada asalnya merancang untuk menyertai 21 acara dengan lebih 300 atlet, namun jumlah itu telah dikurangkan kepada 13 acara pada akhir November selepas ketegangan sempadan terus berlarutan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan akibat penarikan awal ini dan amat menghargai pemahaman serta sokongan semua pihak,” tambah Chamroeun.

Pertikaian sempadan yang berpanjangan antara Kemboja dan Thailand kembali memuncak baru-baru ini, mencetuskan konfrontasi ketenteraan di wilayah utara Kemboja pada Julai.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai bagi menamatkan pertempuran selama lima hari, sebelum memeterai Perjanjian Damai KL semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober, disaksikan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pertempuran tercetus semula pada Isnin, memaksa ribuan penduduk kampung di kawasan sempadan melarikan diri bagi menyelamatkan diri.

Sekurang-kurangnya tujuh orang awam terbunuh, manakala kira-kira 6,000 penduduk dipindahkan susulan insiden tembakan terbaharu itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat