TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin menerima penghargaan tinggi atas ketegasan dan keadilan dalam menangani isu yang melibatkan kerabat diraja baru-baru ini.
Menurut hantaran Facebook Public Health Malaysia, ketegasan Tengku Hassanal sebelum ini yang menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh, telus, dan tanpa kompromi terhadap insiden keganasan fizikal sehingga membawa kepada pendakwaan dipuji ramai rakyat.
Jelasnya, ini bukan sahaja mencerminkan integriti Tengku Hassanal, tetapi turut memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan adil dan saksama.
“Baginda dilihat sebagai contoh kepimpinan yang luhur, memastikan keadilan ditegakkan tanpa sebarang keistimewaan.
“Rakyat merakamkan penghargaan kepada Tengku Mahkota Pahang atas keberanian dan ketegasan Baginda dalam menegakkan prinsip undang-undang yang telus.
“Baginda terus menjadi inspirasi kepada rakyat dengan komitmen terhadap keadilan yang tidak berbelah bagi,” katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, seorang ahli kerabat diraja Pahang dan anggota polis ialah antara lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan seorang lelaki menggunakan pisau pada Jun lalu.
Tertuduh, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20; Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39; Mohd Fouzi Md Nur, 44; Mohd Taufik Daud, 32; dan Khairul Azhar Rosli, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.