Ketepikan skop kerja, dua menteri cuci longkang

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Bersempena dengan sambutan Hari Cuci Malaysia 2024, hari ini, dua orang menteri iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah turun padang untuk menyertai program gotong-royong di ibu negara.

Turut serta pada program itu yang turut dikongsikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Program tersebut telah dijalankan secara serentak di 14 lokasi yang berbeza-beza dan Pasar Seni telah dipilih menjadi lokasi utama untuk program itu diadakan.

“Program di lokasi utama ini bertumpu di enam ‘checkpoint’ (titik semakan) iaitu di Kasturi Walk, Jalan Hang Kasturi, Medan Pasar, Jalan Medan Pasar, Pasaraya Mydin, Jalan Tan Sew Sin, Bus Stand Klang, Jalan Hang Kasturi, Pintu Gerbang Patung Singa, Jalan Petaling, dan Kwai Chai Hong, Lorong Panggung,” menurut DBKL.

Dalam gambar yang dikongsikan DBKL itu, menunjukkan Nga Kor Ming dan Zaleha lengkap memakai baju dan topi keselamatan sedang melakukan beberapa kerja termasuk mencuci longkang.

Antara aktiviti yang dijalankan pada program itu adalah seperti ‘plogging’ (kutip sampah sambil berjoging), pembersihan jalan, pencucian longkang dan pencucian jalan serta siar kaki.

“Semoga dengan adanya program seperti ini, secara tidak langsung dapat memupuk sikap masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan bandar ini,” kata kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat