Ketidaktentuan Tarif AS: Persoalan Hala Tuju Perdagangan Global – Tengku Zafrul

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyambut baik pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menangguhkan pelaksanaan tarif kepada beberapa negara selama 90 hari.

Namun, beliau menegaskan bahawa ketidaktentuan dasar itu mencetuskan persoalan besar mengenai hala tuju perdagangan global khususnya impaknya terhadap rantau ASEAN.

“Tiada yang pasti tentang tarif Trump, selain ketidakpastian!

“Perubahan terkini ini pastinya menjadi topik utama dalam Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN yang akan saya pengerusikan pagi ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia sedang giat menilai implikasi daripada perubahan dasar tersebut.

Beliau menekankan pentingnya perpaduan dalam kalangan negara ASEAN serta integrasi ekonomi serantau untuk mengurangkan gangguan perdagangan dan memperkukuh daya tahan ekonomi.

“Kami mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat kita semua berjaya,” tambahnya.

Malaysia, katanya, akan terus kekal sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara termasuk China dan Amerika Syarikat.

Ujarnya, dalam menghadapi ketidaktentuan ini, negara akan berusaha mencari penyelesaian yang saling menguntungkan terutamanya dalam isu perdagangan dengan Amerika Syarikat.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Malaysia akan meneruskan strategi mempelbagaikan pasaran eksport, meneroka pasaran baharu serta memperkukuh hubungan dengan pasaran sedia ada,” katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan agenda pembaharuan ekonomi negara agar Malaysia kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang sentiasa berubah.

“Keutamaan kami adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,” jelasnya.

Lewat malam tadi, Donald Trump membuat pengumuman mengejut dengan menangguhkan penguatkuasaan tarif ke atas semua negara dunia kecuali China.

Arahan eksekutif yang ditandatangani Khamis lalu menetapkan bahawa tarif tersebut akan berkuat kuasa bermula 9 April.

Keputusan itu dibuat kurang dari 24 jam selepas kadar tarif baharu dilaksanakan, yang menyaksikan pasaran saham dunia merudum.

Anda Mungkin Berminat