Ketika Beijing Jadi Pentas Perpaduan, Trump Semakin Kecewa Dengan Putin

AMERIKA SYARIKAT: Di tengah-tengah perarakan tentera yang megah di Beijing, dunia menyaksikan satu pertemuan simbolik antara pemimpin-pemimpin yang sering dilabel sebagai musuh Amerika Syarikat iaitu Xi Jinping, Vladimir Putin, Kim Jong-un serta pemimpin Iran, Pakistan dan beberapa negara autoritarian lain.

Namun di Washington, Presiden Donald Trump kelihatan semakin gusar bukan kerana perarakan itu tetapi kerana janji yang tidak ditepati oleh Putin.

Dalam satu kenyataan dari Pejabat Oval, Trump cuba meremehkan perhimpunan itu.

“Cantik. Sangat, sangat mengagumkan.

“Saya faham kenapa mereka buat begitu dan mereka harap saya tengok dan saya memang tengok.

“Hubungan saya dengan mereka semua sangat baik. Kita akan lihat betapa baiknya hubungan itu dalam seminggu atau dua lagi,” katanya memetik laporan The New York Times.

Namun di sebalik pujian itu, terselit kekecewaan yang semakin mendalam.

Sidang kemuncak luar biasa antara Trump dan Putin di Alaska tiga minggu lalu, yang dijangka membawa gencatan senjata di Ukraine atau sekatan ekonomi terhadap Rusia, berakhir tanpa sebarang tindakan konkrit.

Malah, Rusia terus meningkatkan serangan terhadap sasaran awam.

Trump sebelum ini berjanji akan mengenakan sekatan terhadap eksport minyak dan gas Rusia tetapi selepas pertemuan itu, beliau bukan sahaja menggugurkan tuntutan gencatan senjata, malah tidak mengenakan sebarang sekatan.

Dua kenalan rapat Trump, yang enggan dikenali, mendedahkan bahawa beliau sebenarnya ‘kecewa’ kerana Putin tidak memberi komitmen yang lebih jelas.

Pada malam Selasa, Trump meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka di media sosial.

“Sampaikan salam mesra saya kepada Vladimir Putin dan Kim Jong Un, semoga berjaya dalam konspirasi kamu terhadap Amerika Syarikat,” katanya.

Namun pakar geopolitik berkata, perhimpunan di Beijing bukanlah satu konspirasi rahsia.

“Sebenarnya, negara-negara ini sangat terbuka dalam seruan mereka untuk membentuk satu sistem antarabangsa baharu iaitu satu sistem yang tidak menafikan pengaruh, kuasa, status dan legitimasi yang mereka rasa layak dimiliki.

“Mereka juga cukup jelas dalam pandangan bahawa Amerika Syarikat adalah penghalang utama kepada pencapaian objektif global mereka dan mereka melihat sistem dunia sedia ada sebagai dominasi Barat yang tidak adil.

“Apa yang jelas dalam perhimpunan ini ialah mereka bersedia untuk bertindak termasuk bekerjasama,” kata Ketua Eksekutif Center for a New American Security, Richard Fontaine.

Trump dan Putin sebelum ini berkongsi perjalanan peribadi, makan bersama dan menunjukkan keakraban yang sepatutnya membawa kepada rundingan damai.

Tetapi selepas beberapa tarikh akhir yang berlalu dan ancaman sekatan yang tidak menjadi kenyataan, Trump kini hanya mampu menunggu.

Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai mesej untuk Putin, jawapan Trump penuh dengan ketidakpastian.

“Saya tiada mesej untuk Presiden Putin. Dia tahu pendirian saya. Dia akan buat keputusan, dan kita akan sama ada gembira atau tidak gembira. Kalau kita tak gembira, kamu akan lihat tindakan diambil,” katanya.

Anda Mungkin Berminat