KUALA LANGAT: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Langat, Mohd Afiq Mohd Tuniman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti jenayah dan kumpulan samseng seperti yang tersebar dalam satu hantaran di media sosial, baru-baru ini.
Ini berikutan satu hantaran yang dimuat naik oleh akaun Facebook ‘Suara Rakyat’ yang mendakwa dirinya terlibat dengan kumpulan samseng, insiden pergaduhan dan kebakaran serta mendakwa dirinya mempunyai perlindungan politik serta merekrut anak muda ke dunia gangsterisme.
“Saya menafikan semua tuduhan ini. Ia merupakan fitnah jahat dan tidak berasas yang bertujuan untuk mencemarkan maruah serta imej saya, sama ada secara peribadi atau profesional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Afiq, yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Kelang, mendedahkan bahawa dakwaan yang sama pernah tular di platform lain sebelum ini termasuk Telegram ‘Edisi Siasat’ serta akaun milik aktivis politik Chegu Bard dan Tun Faisal, yang menurutnya menyebarkan naratif palsu mengenai dirinya.
Susulan penyebaran fitnah tersebut, beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan.
Katanya, seorang individu bernama Khairul Anwar Zainal, yang menggunakan akaun Facebook bernama Khairul Anwar Fiza telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Saya menghargai tindakan tegas pihak polis dalam perkara ini dan berharap siasatan dibuat secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terbabit,” katanya lagi.
Mohd Afiq turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang sedang diambil termasuk saman sivil dan laporan jenayah terhadap pemilik akaun yang menyebarkan fitnah tersebut.
Tindakan ini dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan lain.
Beliau turut mengesahkan bahawa surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) telah dikeluarkan kepada tiga individu yang dinamakan, termasuk Nik Badrul Hisham, yang baru-baru ini telah memuat naik permohonan maaf secara terbuka di media sosial.
Namun, katanya, tindakan undang-undang terhadap Nik Badrul akan tetap diteruskan.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta mengamalkan tanggungjawab sosial dalam penggunaan media sosial.