KUALA LUMPUR: Ramai pemimpin tertinggi dunia mula tiba di ibu negara sejak Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu ini.
Antara yang sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak semalam ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri, Rosangela Lula da Silva; Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng; Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri, Dr Tshepo Motsepe, serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao.
Antara pemimpin dunia lain yang dijangka berhimpun di KLCC hujung minggu ini termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.
Ketibaan mereka menandakan momentum yang semakin memuncak menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang kemuncak tahun ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN, berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menangani cabaran global secara bersama serta inklusif.
Acara itu turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste ke arah kemasukannya sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan semasa sidang kemuncak pada 26 Oktober ini.
Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan oleh Malaysia berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan daripada langkah tarif Amerika Syarikat dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Antara mesyuarat utama minggu ini termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan AEC 2025, serta Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) yang akan membincangkan strategi untuk menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin mencabar.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas mengetuainya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Baca juga:








