Ketua Pemuda UMNO Kini Bergelar Datuk

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Perkara itu dikongsi Muhammad Akmal di Facebook miliknya dan berterima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam dan Kerajaan Negeri Melaka atas penganugerahan tersebut.

“Walaupun saya merasakan diri ini masih lagi tidak layak atas anugerah yang diterima kerana banyak lagi kelemahan dan kurang jasa saya kepada negeri Melaka berbanding dengan orang lain.

“Mewakili rakyat DUN Merlimau dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya mengucapkan (terima kasih) sekali lagi atas penghargaan yang diberi kepada kami.

“Terima kasih dan selamat hari lahir TYT Tun. Moga Allah (SWT) berikan Tun kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan,” katanya pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menganggap anugerah itu adalah untuk semua warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Pergerakan Pemuda UMNO.

Sempena hari jadi TYT negeri Melaka, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mengetuai senarai 299 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Anda Mungkin Berminat