Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan bahawa keupayaan bayaran balik pinjaman oleh isi rumah dan peniaga pada tahun ini adalah lebih kukuh berbanding tahun 2023.
Menerusi Tinjauan Kestabilan Kewangan (TKK) yang dikeluarkan oleh BNM, keupayaan itu berlaku akibat disokong oleh keadaan ekonomi dan juga pasaran pekerja yang menggalakkan sehingga keupayaan bayaran balik pinjaman terus mampan.
“Peminjam isi rumah yang lebih berisiko tinggi untuk mungkir, kini telah menurun kepada 4.4 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah berbanding 4.8 peratus pada Disember 2023.
“Jumlah pinjaman isi rumah juga turut menunjukkan trend penurunan iaitu 2.0 peratus daripada 2.2 peratus tahun lalu,” kata BNM.
Hal ini juga sejajar dengan keupayaan bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh perniagaan di Malaysia yang turut menunjukkan penurunan yang lebih positif.
“Kualiti kredit pinjaman peniaga memperlihatkan model yang kukuh dengan nisbah pinjam stabil daripada 12.4 peratus kepada 12.3 peratus tahun ini.
“Manakala, perusahaan kecil sederhana (PKS) dengan pinjaman yang gagal bayar juga menunjukkan penurunan drastik sebanyak 0.7 peratus dan kini menjadi 4.7 peratus sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, laporan turut menyebut bahawa, keadaan pasaran domestik juga teratur dan terus terpelihara kerana disokong oleh beberapa faktor utama termasuk pasaran domestik kukuh, penyertaan pelaburan berterusan, sentimen pelaburan positif dan juga pertukaran wang asing yang terurus.