PETALING JAYA: Usahawan dan pempengarah terkenal, Khairul Aming (KA), sekali lagi menunjukkan teladan sebagai majikan yang penyayang dengan meraikan stafnya menjelang sambutan Aidilfitri.
Tradisi tahunan ini menjadi bukti keprihatinan KA terhadap pekerja yang setia bersama-sama membangunkan empayarnya.
Dalam video yang dikongsi di Instagram, KA membawa stafnya membeli-belah keperluan raya seperti pakaian dan barang dapur.
Tidak cukup dengan itu, dia juga memeberikan duit raya kepada semuanya.
“Saya bersyukur dan gembira dapat meneruskan tradisi ini dari tahun ke tahun.
“Semalam, kita tutup kilang untuk meluangkan masa meraikan staf di bulan puasa ini,” tulisnya dalam kapsyen.
Selain membeli-belah, KA turut membawa seluruh stafnya berbuka puasa di sebuah hotel yang seterusnya memberikan sentuhan istimewa kepada tradisi penghargaan ini.
Sikap pemurahnya sebagai majikan menerima pujian ramai apabila memperlihatkan bahawa keselesaan dan kesejahteraan pekerja adalah keutamaan baginya.
Di ruangan komen, netizen melahirkan rasa kagum dan menyatakan harapan agar lebih ramai majikan mencontohi KA.
Ada yang berseloroh ingin menjadi sebahagian daripada pasukan dia kerana jarang menemui majikan yang memberikan penghargaan sebegini kepada staf mereka.