Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming (KA) mengumumkan pembukaan restoran pertama miliknya yang dinamakan Rembayung, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kerjayanya selepas lebih sedekad mencipta jenama di dunia digital.
Menerusi perkongsian di media sosial, KA berkata, perancangan dan pembinaan restoran tersebut telah dirahsiakan selama hampir setahun sebelum diumumkan secara rasmi.
Beliau berkata, selepas lebih 10 tahun membina pengaruh dalam dunia maya, kini tiba masanya untuk melebarkan sayap ke perniagaan fizikal atau dunia ‘offline’.
“Dengan pelaburan RM4 juta, kami membina restoran ini sepenuhnya dari awal di atas tanah kosong seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, hanya kira-kira sembilan minit dari KLCC.
“Ia merupakan pelaburan terbesar yang pernah saya lakukan bagi satu projek,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial.
Menurut beliau, Restoran Rembayung mengetengahkan konsep elemen kampung di tengah kota dengan harapan bukan sahaja menarik pelanggan tempatan malah menjadi tarikan pelancong luar negara.
Suasana tradisional yang digabungkan dengan sentuhan moden dijangka menjadikan restoran ini destinasi unik di ibu kota.
Selain menjadi tarikan gastronomi baharu, pembukaan restoran tersebut turut membuka peluang pekerjaan kepada sekitar 50 anak tempatan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi komuniti setempat.
Menurut KA, projek itu bukan sekadar pembukaan restoran semata-mata tetapi menjadi titik permulaan kepada perancangan jangka panjang bagi tempoh 10 tahun akan datang.








