Oleh: Wahida Ramlan
ATLET pelayaran negara, Khairulnizam Afendy pertimbang berundur daripada skuad kebangsaan selepas mendakwa mendapat layanan tidak sama rata di Sukan Olimpik Paris 2024.
Meskipun sudah empat kali membuat kemunculan di pentas Olimpik, namun katanya tiada sebarang perubahan daripada segi sokongan keseluruhan yang diberikan oleh pihak berkenaan.
“Pasukan lain mungkin dapat 100 peratus pembiayaan (funding) tapi saya kena usul pembiayaan dulu baru boleh saya buat tuntutan (claim) itupun saya masih tidak tahu bahawa saya akan dapat ke tidak lagi.
“Banyak juga tekanan saya hadapi, kita bawa nama Malaysia tapi kita tidak dapat layanan yang sama-rata, mungkin ada masalah dalaman mahupun masalah peribadi saya pun tidak tahu.
“Tetapi untuk maju ke hadapan kita harus ketepikan masalah-masalah seperti ini bagi membantu atlet dalam menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang,” jelasnya ketika ditemu bual oleh Astro Arena.
Pada 5 Ogos lalu, pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy menamatkan kempen keempatnya di Olimpik dengan tangan kosong selepas gagal menempatkan diri ke perlumbaan pingat.