KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq membayar ganti rugi RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas didapati mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung program vaksinasi COVID-19 kerajaan.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan selepas membenarkan saman yang difailkan Khairy pada 25 Januari 2022 menerusi Tetuan Rashid Zulkifli.
Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada plaintif.
Saman itu dikemukakan susulan beberapa hantaran dalam talian dibuat Abu Syafiq antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 yang dikatakan mengaitkan Khairy dengan dakwaan negatif mengenai status vaksin dan pelaksanaan program imunisasi ketika beliau menerajui Kementerian Kesihatan.
Antara tuntutan yang dimohon ialah ganti rugi am, teladan dan teruk, pemadaman semua kenyataan berunsur fitnah serta permohonan maaf terbuka melalui media sosial dan beberapa portal berita.
Bagaimanapun, kandungan yang dipertikai tidak ditarik balik, sekali gus menyebabkan prosiding diteruskan di mahkamah.
Sementara itu, satu lagi defendan dalam kes sama, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, sebelum ini menyelesaikan saman secara baik apabila bersetuju memohon maaf secara terbuka kepada Khairy serta membayar pampasan dalam tempoh 30 hari seperti dipersetujui bersama.
Kes ini menjadi antara saman sivil berprofil tinggi melibatkan isu pandemik dan penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial, khususnya dalam era krisis kesihatan awam.
Baca juga: