KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau secara kontrak bermula 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Ahad ini.
Pelantikan tersebut diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Majlis Serah Terima Tugas serta pemakaian lencana jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlangsung di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dengan disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.
Majlis dimulakan dengan penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd. Khalid oleh Saifuddin, diikuti upacara menandatangani serta pertukaran dokumen rasmi antara beliau dan Razarudin, disusuli penyerahan tongkat kuasa.
Turut diadakan ialah upacara serah tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) daripada Puan Sri Zainah Othman kepada Datin Seri Munirah Che Rose, disaksikan isteri Saifuddin, Datin Seri Norhayati Musa.
Dalam kenyataan medianya, Saifuddin menyifatkan pelantikan Mohd. Khalid sebagai tepat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang risikan dan keselamatan sejak menyertai PDRM pada 5 April 1987 selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis.
“Beliau memiliki pengalaman berkhidmat di pelbagai peringkat termasuk di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen negeri dan luar negara. Beliau juga pernah memegang jawatan penting seperti Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dan Pegawai Perhubungan Keselamatan (SLO) di London, United Kingdom,” katanya.
Saifuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin atas segala jasa dan kepimpinan sepanjang menjawat jawatan Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023.