Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan Khalid Samad menepis sekeras-kerasnya tohmahan oleh aktivis, Rafidah Ibrahim yang mendakwa terdapat campur tangan oleh pihak luar dan kebanyakan penduduk asal dihalau berkait isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Menerusi sidang media pada Rabu, Khalid menjelaskan bahawa penduduk asal kawasan itu menerusi persatuan mereka telah lama mencari pemaju untuk membangunkan kawasan tersebut kerana keadaan perumahan sedia ada sudah terlalu daif.
“Persatuan penduduk Kampung Sungai Baru sendiri yang memulakan usaha ini.
“Mereka dah tidak selesa tinggal di rumah flat yang sempit, usang dan terabai. Jadi, mereka cari pemaju untuk membangunkan kawasan itu,” katanya.
Khalid turut menolak satu lagi pertuduhan Rafidah yang mendakwa bahawa terdapatnya tindakan menghapuskan tanah rizab Melayu di kawasan berkenaan.
“Itu satu fitnah dan mengelirukan, tidak timbul soal menghapuskan tanah rizab Melayu.
“Apa yang berlaku adalah penduduk sendiri mahukan kehidupan yang lebih baik dan selesa.
“Mereka tidak bantah pembangunan, yang dibangkitkan hanyalah isu kadar pampasan,” jelasnya.
Kata beliau, sejak awal lagi isu utama berkaitan projek berkenaan adalah soal penilaian pampasan yang ditawarkan kepada pemilik rumah, bukannya penolakan terhadap pembangunan itu sendiri.
“Saya sudah beberapa kali tekankan, perbezaannya hanya pada kadar pampasan. Ada yang bersetuju, ada yang mahu pampasan lebih adil. Itu sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, beberapa pihak yang terbabit khususnya Rafidah disarankan untuk berhenti mengelirukan masyarakat dengan tuduhan yang tidak berasas.
Baca juga:








