PETALING JAYA: Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mengakui belum menerima laporan penuh mengenai kontroversi kerugian pelaburan bersama Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kerugian RM43.9 juta dalam penjualan saham dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) dengan harga RM3.1 juta.
“Kami sedang memantau isu ini…saya belum menerima laporan penuh mengenai perkara sebenarnya yang berlaku. Sudah tentu, banyak orang mempunyai banyak soalan, dan saya rasa kita perlu memberi pihak-pihak berkenaan sedikit masa untuk memberikan respons secara rasmi.
“Sudah tentu, isu ini timbul daripada respons Parlimen yang diberikan. Jadi, saya rasa kita perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk menerangkan situasi yang berlaku, kerana ini melibatkan wang awam dan tentunya ramai yang ingin tahu,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024, menurut FMT.

Selasa lalu, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan peangang minoriti mereka dalam FashionValet.
Pada 2018, Khazanah telah melabur sebanyak RM27 juta, manakala PNB melabur RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.








