Khemah biru pantai Teluk Kemang: MPPD keluar kenyataan rasmi Isnin ini

Oleh: Haikal Tajuddin

ISU khemah biru di pantai Teluk Kemang yang sudah bertahun-tahun tiada penyelesaian kini mula nampak cahayanya.

Hal itu susulan Kerajaan Negeri Sembilan berjanji untuk ambil tindakan lebih tegas terhadap peniaga yang masih berdegil membuat perkhidmatan sewa khemah di sepanjang pantai Port Dickson.

Susulan itu, Malaysia Bangkit menghubungi pihak pengurusan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk mendapatkan penjelasan lanjut terhadap isu berkenaan.

“Buat masa sekarang, pihak pegawai sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan tindakan ini dan kesemua daripada mereka kini sedang sibuk menyelesaikan tugasan luar.

“Hari Isnin, pihak pegawai secara rasminya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubungan perkara tersebut,” jelas MPPD kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Untuk info, pihak peniaga di Pantai Teluk Kemang membuat perkhidmatan sewa khemah biru kepada pengunjung yang hadir di sana.

Hal itu menimbulkan rasa tidak senang pengunjung kerana mereka dilarang untuk meletakkan tikar sendiri, sebaliknya perlu menyewa khemah tersebut daripada peniaga.

Justeru, pengunjung pantai mahu masalah khemah biru di sekitar pantai Teluk Kemang kembali seperti dahulu kerana ia merupakan kawasan awam.

Menerusi laporan media tempatan, isu khemah biru di pantai Teluk Kemang bukanlah perkara baharu dan sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat