MAKKAH: Khutbah Arafah tahun ini akan disampaikan dalam lebih 34 bahasa menerusi terjemahan langsung oleh Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Inisiatif itu merupakan antara projek terjemahan terbesar musim haji setakat ini yang bertujuan menyampaikan mesej Islam yang penuh toleransi kepada masyarakat dunia dalam bahasa ibunda masing-masing.
Langkah itu juga dilihat mampu memperkukuh komunikasi antara umat Islam dan bukan Islam.
Menurut laporan dari Arab Saudi, kerajaan terus komited memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah dan memartabatkan peranan Dua Masjid Suci.
Khutbah Arafah boleh diakses dalam bentuk teks serta audio menerusi kod QR yang dipaparkan di skrin digital, bas dan tempat penginapan jemaah.
Selain itu, perkhidmatan itu turut dipromosikan secara meluas melalui saluran media kerajaan dan antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Media yang membuka peluang kepada jutaan pendengar di seluruh dunia untuk memahami intipati khutbah Arafah dalam bahasa masing-masing, di mana sahaja mereka berada.