Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Khutbah Jumaat masjid di Selangor hari ini menyentuh nilai integriti yang wajar dipraktikkan bukan sahaja oleh individu malah dalam masyarakat di Malaysia.
Sejajar dengan tajuk Khutbah ‘Integriti Teras Keharmonian Negara’, Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan keharmonian masyarakat dapat dimanfaatkan jika negara kekal teguh dengan nilai integriti dan tidak amalkan rasuah.
“Integriti merupakan sebahagian daripada nilai-nilai penting dan berperanan besar dalam membina tingkah laku serta sahsiah manusia untuk membentuk kesempurnaan dalam diri.
“Nilai integriti bukan sahaja mengubah landskap dan ekosistem kehidupan dalam kalangan anggota masyarakat bahkan akan membantu sesebuah negara dalam mencapai matlamat serta kejayaan yang telah dirangka agar Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah.
“Rasulullah SAW merupakan contoh teladan sebagai hamba Allah SWT yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, yang bererti ‘yang sangat dipercayai’,” kata petikan khutbah berkenaan.

Dalam khutbah tersebut juga mengkritik sikap individu yang menyuntik pelbagai perkara negatif mengundang permusuhan terutamanya media sosial.
“Perkara sedemikian, dianggap menyimpang dari ajaran agama dan menjejaskan perpaduan akibat daripada perbuatan pihak-pihak yang tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab.
“Ingatlah bahawa kesejahteraan dan kemakmuran negara juga adalah amanah daripada Allah SWT yang mesti dipelihara. Kita juga seringkali didedahkan dengan pelbagai kepincangan dalam masyarakat yang melibatkan keruntuhan nilai integriti,” kata kenyataan tersebut.