SHAH ALAM: Khutbah Jumaat di seluruh Selangor hari ini mengangkat tema ketabahan dan keinsafan dengan mengingatkan umat Islam bahawa setiap musibah yang menimpa bukan sekadar ujian tetapi ketetapan Allah yang sarat dengan hikmah.
Menerusi teks khutbah bertajuk ‘Musibah: Menghapus Dosa, Mengangkat Darjat’, umat Islam diajak memahami bahawa apa jua bentuk ujian, sama ada kesedihan, kerugian atau bencana tidak berlaku sia-sia, sebaliknya membawa nilai rohani yang besar.
Khutbah itu berkata, seorang mukmin perlu melihat setiap ujian sebagai ruang memperkukuh hubungan dengan Allah dan memperbaiki diri.
“Ujian yang menimpa adalah ruang untuk kembali kepada Allah, memperkukuh iman dan memperbaiki diri.
“Musibah berfungsi menghapuskan dosa serta menaikkan kedudukan seseorang di sisi Allah. Malah, sekecil-kecil kesakitan juga mempunyai nilai di sisi-Nya.
“Apa jua yang dirasai oleh seorang Muslim, walaupun sekecil tusukan duri, menjadi sebab Allah SWT menghapuskan dosa dan meninggikan martabatnya,” katanya.
Khutbah turut mengingatkan jemaah agar menjaga akhlak ketika berdepan musibah dan tidak menjadikan ujian sebagai alasan untuk menuding jari atau mencetuskan perselisihan.
“Musibah bukan alasan untuk menuding jari atau mencela orang lain.
‘Seorang mukmin dituntut untuk sentiasa memelihara adab,” katanya.
Selain menyeru umat Islam agar bersabar, khutbah juga menekankan pentingnya melihat setiap ketentuan Allah dengan pandangan positif, yakin bahawa setiap ujian membawa kebaikan yang mungkin belum terlihat pada saat ia berlaku.








