Khutbah untuk nasihat, bukan pecah belah – Na’im Mokhtar

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendakwa tindakan seorang khatib yang mempertikaikan pemberian kewarganegaraan dalam khutbah adalah dengan niat untuk memecah belah.

Beliau berkata, perkara sebegini sama sekali tidak wajar dan seharusnya khutbah berperanan untuk memberi nasihat kepada jemaah yang hadir.

“Apakah tujuan khutbah itu sebenarnya? Sepatutnya digunakan dengan niat untuk memberi nasihat kepada jemaah dan bersatu padu.

“Bukan untuk memecah belah, apatah lagi menggunakan mimbar khutbah untuk memfitnah benda yang tak betul. Peranan mereka adalah untuk menyatupadukan umat,” katanya sewaktu ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Bharu, di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan akan diambil sekiranya khatib tersebut disahkan tidak memiliki sebarang pentauliahan.

“Seperti yang kita sedia maklum, di negeri Kedah, kuasa agama termasuklah dalam mendrafkan dan memberi khutbah terletak di bawah kuasa negeri.

“Jika khatib yang memberikan khutbah tidak ada tauliah, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah melalui bahagian penguatkuasaan boleh mengambil tindakan terhadap khatib tersebut,” katanya.

Sekiranya khutbah tersebut menimbulkan pelbagai bentuk ketegangan kaum, beliau mengakui bahawa tindakan polis akan diambil dengan kadar segera.

“Jika hasil siasatan pihak polis mendapati khutbah itu menimbulkan keresahan dan ketegangan kaum, ia juga boleh diambil tindakan,” tambahnya.

Baru-baru ini, umat Islam telah digemparkan dengan isu seorang khatib yang mengulas berkenaan pemberian warganegara kepada lebih satu juta rakyat China dalam khutbah Jumaat di sebuah masjid di Parlimen Padang Serai.

Perkara ini menimbulkan kontroversi sehingga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui kejadian itu sebagai satu cerminan negatif kepada institusi masjid.

Anda Mungkin Berminat