Kibar Jalur Gemilang Setiap Rumah Tanda Cinta Negara – Fahmi

MUAR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap kediaman sebagai tanda cinta dan kesetiaan kepada negara.

Menerusi Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Fahmi menekankan bahawa tindakan simbolik ini mencerminkan perpaduan rakyat berbilang kaum serta iltizam bersama dalam mempertahankan keharmonian negara.

“Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang di kediaman, kenderaan, pejabat, sekolah dan premis masing-masing.

“Jom, kita sokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cinta akan negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 (MPBKKJG 2025) di Dataran Tanjung Emas, Muar.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Julina Johan.

Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan tetapi perlu dihayati sebagai detik penting untuk mengenang perjuangan terdahulu dan memperbaharui komitmen terhadap tanah air.

“Ia membawa tanggungjawab besar dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan – satu bulan yang menuntut kita mengimbau sejarah, menghargai pengorbanan dan memperbaharui iltizam terhadap tanah air tercinta,” katanya.

Menurut beliau, semangat perpaduan yang telah dibina sejak merdeka perlu terus dipelihara agar rakyat tidak lupa erti sebenar kebebasan dan kepentingan menjadi masyarakat yang bersatu padu.

“Sebelum kemerdekaan, kehidupan rakyat dibentuk dalam kepelbagaian kaum.

“Kini, semangat kebersamaan yang terbina dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan selama 68 tahun menjadi asas kepada kestabilan negara,” tambahnya.

Peluncuran Bulan Kebangsaan 2025 turut diserikan dengan kibaran gergasi Jalur Gemilang dan pelbagai persembahan patriotik, menandakan permulaan rasmi kepada sambutan yang bakal berlangsung sepanjang Ogos hingga pertengahan September.

Anda Mungkin Berminat