Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sebuah kilang kitar semula plastik terpakai di Klang dikenakan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen 4, Klang pada 7 Januari lalu setelah mengaku tidak bersalah menempatkan bahan buangan berjadual tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor pada 7 Januari lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen 4, Klang, Sharifah Hascindie Syed Omar menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira kepentingan awam serta hujahan pihak pendakwaan dan rayuan peguam syarikat.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Datuk Wandi Yadzid Yaakob memaklumkan, hukuman terbabit dijatuhkan berdasarkan satu pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 34B (1) (A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Tegas beliau, hukuman yang berat perlu dikenakan bagi mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan pemain industri terbabit.
“Hukuman itu menjadi pengajaran agar syarikat tidak sewenang-wenangnya menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Beliau turut mengingatkan bahawa pematuhan undang-undang alam sekitar bukan pilihan, sebaliknya tanggungjawab yang wajib dipatuhi.
“Keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Terdahulu, pengarah syarikat yang mewakili syarikat terbabit selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Kes berkenaan dikesan hasil pemeriksaan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor di premis kilang berkenaan.
Baca juga:







