Sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas Fasa 4, Bayan Lepas, Pulau Pinang terbakar sebanyak 40 peratus pada pukul 12.10 tengah hari, Ahad.
Menurut Komander Operasi, TPgB II Azrul Khairi Abu Bakar, kebakaran tersebut melibatkan dua orang mangsa lelaki berusia 37 dan 27 tahun yang berjaya diselamatkan oleh bomba dengan menyelamatkan mereka daripada bangunan tersebut.
“Kebakaran tersebut turut melibatkan kabel di panel solar pada bahagian atas bangunan kilang berkenaan dan memusnahkan sebahagian kecil daripadanya bersama beberapa perkakasan elektrik yang lain.
“Kerja-kerja pemadaman kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 1.25 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.08 petang,” katanya menerusi kenyataan.
Azrul berkata, bomba turut melakukan kerja-kerja overhaul untuk memastikan tiada ancaman kebakaran akan berlaku lagi selepas ini.
Kes kebakaran ini turut diserahkan kepada Pegawai Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Neger Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut melibatkan seramai 23 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dan BBP Seri Balik Pulau.
Selain bomba, agensi lain yang turut serta dalam operasi memadam ini adalah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine dan PBS Paya Terubong, pihak Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan pegawai perubatan swasta.
Baca juga: