Oleh: Aliyaa Azmi
PENYANYI dan personaliti popular Korea Selatan, Kim Jong-kook mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada usia 49 tahun.
Perkara itu dikongsikan menerusi sepucuk surat tulisan tangan di kafe peminatnya pada Isnin, 18 Ogos. Dalam surat itu, Jong-kook mengakui berdebar membuat pengumuman mengenai perkahwinannya.
“Saya selalu membayangkan suatu hari nanti akan menulis sesuatu seperti ini, namun tetap rasa gementar ketika melakukannya. Saya akan berkahwin,” katanya.
Menurutnya, tahun ini cukup bermakna kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-30 debutnya sebagai penyanyi.
“Walaupun agak lewat, saya rasa sangat bertuah. Saya akan hidup dengan baik,” ujarnya lagi.
Agensi TURBO.JK COMPANY turut mengesahkan majlis perkahwinan itu akan berlangsung secara sederhana bersama keluarga serta rakan rapat.
“Lebih bermakna untuk memulakan langkah baharu ini pada tahun ke-30 debutnya. Kami berharap ramai peminat akan mendoakan dan memberikan sokongan,” kata agensi itu.
Sementara itu, Jong-kook merancang pelancaran album baharu dan konsert pada bulan Oktober sebagai sebahagian sambutan tiga dekad perjalanan seninya.
Pada Mei lalu, dia dilaporkan membeli sebuah unit kediaman mewah di Nonhyeon-dong, Gangnam-gu, Seoul bernilai 6.2 bilion won yang sebelum ini pernah disifatkannya sebagai berpotensi menjadi rumah pengantin baru.
Sumber: Soompi, Koreaboo
Baca juga: