Pelabur antarabngsa mengiktiraf bahawa ketika ini adalah masa yang tepat untuk melabur di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, antara faktor keyakinan itu adalah kerajaan yang stabil dan tadbir urus yang baik, sifat pro-perdagangan dan pendirian neutral oleh rakyat Malaysia memenuhi permintaan rakan dagangan pada masa ini.
“Pengumuman hari ini dibuat berikutan pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion.
“Ia jelas mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantaian nilai yang lebih tinggi kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap apa yang tenaga kerja kita mampu lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Anwar, KL20 dirangka dengan minda bagi mengalu-alukan pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi dari segenap pelusuk dunia selain menumpukan pada usahawan tempatan bagi merebut peluang ke peringkat global.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sidang kemuncak itu menandakan usaha menyeluruh kerajaan untuk memangkin ekosistem teknologi.
“KL20 secara strategiknya selari dengan falsafah ekonomi pentadbiran pusat kerajaan ini, di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

“(Ini) didukung oleh prinsip bahawa pertumbuhan dan pengagihan ekonomi bergerak seiring dan pelarasan kerajaan mesti sejajar dengan kuasa pasaran,” katanya.