PUTRAJAYA: Nilai integriti perlu dipupuk sejak kecil melalui teladan ibu bapa dan suasana kekeluargaan yang sihat kerana keluarga merupakan ‘tapak semaian’ utama dalam membentuk jati diri dan moral seseorang, tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Berucap ketika merasmikan Konvensyen Integriti dan Psikologi SPRM (KIPS 4.0) Tahun 2025 bertemakan ‘Keluarga Asas Integriti: Psikologi Membentuk Jiwa’ di Auditorium SPRM pada Selasa, beliau menekankan bahawa kesejahteraan mental dalam keluarga adalah asas kepada kelahiran individu yang stabil, bermoral dan berintegriti.
“Kesejahteraan mental dalam keluarga adalah kunci kepada lahirnya individu yang stabil, bermoral dan berintegriti serta penting dalam membentuk warga beretika dan berdisiplin,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara tanggungjawab kerja dan keluarga bagi mengelakkan tekanan psikologi yang boleh menjejaskan keharmonian emosi.
“Nilai kekeluargaan, katanya, bukan sahaja membentuk insan tetapi juga memperkukuh organisasi.
“Pemimpin berjiwa kekeluargaan lebih prihatin terhadap kebajikan warga kerja, mudah didekati serta dihormati,” ujarnya.
Azam turut menyeru warga SPRM agar saling peka terhadap rakan sekerja yang berdepan tekanan dengan memberikan sokongan moral yang mampu memulihkan semangat dan keyakinan diri.
“Dalam era teknologi terbuka ini, semua pegawai SPRM perlu memiliki ketahanan mental yang kuat untuk menghadapi sebarang kecaman dan fitnah.
“Kita mesti kekal cekal dan yakin bahawa kita berada di jalan yang benar,” katanya.
Konvensyen KIPS 4.0 dianjurkan oleh Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Integriti Nasional.
Ia bertujuan memupuk komitmen tinggi warga SPRM terhadap pembudayaan integriti, kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan positif.
Majlis turut menyaksikan Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) SPRM Tahun 2025 melibatkan 22 pegawai serta penyerahan Buku Laporan Jawatankuasa Aduan SPRM Tahun 2024 oleh Panel Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah-pengarah Kanan; Pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
KIPS 4.0 menjadi medan penting untuk memperkukuh semangat integriti dalam kalangan warga SPRM, bermula dari akar kekeluargaan hingga ke struktur organisasi, demi membina sebuah institusi yang berdaya tahan dan berjiwa rakyat.