PETALING JAYA: Dua dekad lalu, seorang anak muda dari Sekinchan, Pua Khien Seng, mengubah sejarah dunia apabila mencipta cip USB flash pertama.
Menurut hantaran di Facebook Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, syarikat yang diasaskannya, Phison, menguasai lebih 45 peratus pasaran USB flash global.
“Impiannya untuk Malaysia pernah terhalang pada 1999, Pua cuba menjadikan Malaysia sebagai hab reka bentuk mikrocip dunia,” kata Nurul Izzah.
Namun, birokrasi dan dasar tempatan yang belum matang memaksanya mencari peluang di Taiwan dan di sana, ideanya subur dan berkembang.
“Saya mahu melihat Malaysia muncul sebagai harimau digital di rantau ASEAN,” kata Pua.
Dua tahun lalu, Pua bertemu Nurul Izzah walaupun telah berjaya di pentas dunia, kata beliau, “dia tetap nak kembali menabur bakti buat tanah air tercinta.”
Dengan tekad, Pua membawa bersama pelaburan RM100 juta dan pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion demi Malaysia.
“Saya mampu merungkai dunia mikrocip yang kompleks tetapi saya masih gagal memahami mentaliti dan lanskap politik di Malaysia,” luah Pua.
Namun, Izzah bangkit membantu mempertemukan beliau dengan agensi strategik seperti SIDEC dan seterusnya membuka laluan untuk Selangor menjadi Lembah Silikon Malaysia.
Kini, hasil kerjasama tersebut membuahkan kejayaan, di mana dua bulan lalu, Pua melancarkan MaiStorage iaitu sebuah syarikat reka cipta mikrocip dan storan data canggih.
Graduan baharu ditawarkan gaji permulaan RM6,000 dan jurutera berpengalaman pula menerima gaji lima angka.
“Saya telah tunaikan janji saya. Terima kasih Puan Izzah kerana mempercayai saya dan membimbing saya ketika saya memerlukan bantuan,” katanya.
Inilah kisah anak bangsa yang kembali membina masa depan negara untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna tetapi pencipta teknologi global.








