Kisah Cikgu Din Dapat Perhatian KPM

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan pertemuan bersama seorang guru, Izzuddin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din yang tular selepas permohonannya untuk berpindah demi menjaga isteri yang menghidap kanser ditolak.

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, KPM memaklumkan, pertemuan yang akan diadakan dalam masa terdekat itu akan membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

“Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil. Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya.

“KPM mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara,” katanya.

Kisah Cikgu Din dikongsikan pengguna Facebook, Harima Abd Rahman yang juga rakannya.

Menurut Harima, Cikgu Din mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaan untuk berpindah tidak diluluskan KPM.

Dalam perkongsian itu, Harima turut berkongsi surat sokongan daripada pihak hospital bagi memudahkan urusan perpindahan lokasi Cikgu Din.

Difahamkan, isteri Cikgu Din sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

Dinyatakan juga, beliau ketika ini mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak berulang-alik setiap dua minggu untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Lebih menyayat hati, Cikgu Din turut disahkan menghidap tekanan mental atau major depressive disorder (MDD) yang juga memerlukan rawatan.

Hantaran tersebut tular dan mendapat perkongsian lebih 34,000 itu turut memuat naik bersama surat pengesahan daripada hospital mengenai keadaan terkini tahap kesihatan isteri Cikgu Din.

Anda Mungkin Berminat