Kisah Najib jadi pengajaran penting buat pemimpin lain – Ammar Atan

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Ammar Atan menyampaikan penghargaan yang ikhlas atas langkah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ammar menyifatkan langkah itu sebagai suatu keberanian yang terpuji dan berharap ia menjadi teladan kepada semua.

Namun, beliau menegaskan bahawa keadilan harus terus ditegakkan.

“Kecurangan yang berlaku tidak sekadar mencalar maruah negara, tetapi telah membebani generasi hari ini dengan hutang yang menggunung yang kesannya akan dirasai oleh anak cucu kita kelak.

“Maka, demi memastikan masa depan yang lebih cerah, kita harus menutup ruang agar sejarah yang pahit ini tidak diulang lagi,” katanya.

Ammar yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan menjelaskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil terhadap Najib bukanlah sekadar soal peribadi, tetapi langkah yang perlu demi menjaga maruah dan kesejahteraan negara.

“Usaha ini adalah untuk memulihkan tata kelola kewangan negara yang mesti dipandu dengan integriti dan akauntabiliti.

“Di sini, letaknya amanah iaitu untuk memastikan pentadbiran yang sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih terjamin,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa peristiwa ini harus menjadi pengajaran buat semua pemimpin hari ini dan akan datang agar tidak diperdayakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Pengakuan Datuk Seri (Najib Razak) ini mengingatkan kita bahawa amanah yang dipikul menuntut jiwa yang teguh dan tanggungjawab yang luhur, bukan ruang untuk sebarang kepentingan peribadi atau pengaruh luar yang merosakkan,” ujarnya.

Akhir sekali, Ammar berharap tindakan Najib yang penuh kesedaran itu mampu menjadi penawar dalam memulihkan nama baik Malaysia di mata dunia, serta menyemai keyakinan di hati rakyat bahawa keadilan dan kebenaran akan sentiasa menjadi tunggak utama negara ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat