‘Kita Kehilangan Seorang Ulama Besar’ – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas pemergian Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh, yang meninggal dunia.

Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Anwar menyifatkan kemangkatan tokoh ulama itu sebagai satu kehilangan besar buat dunia Islam.

“Seluruh umat Islam di Malaysia berduka menerima perkhabaran kemangkatan Sheikh Abdulaziz Abdullah Al-Sheikh, Mufti Besar Arab Saudi.

“Kita kehilangan seorang ulama besar yang cakna dengan ilmu dan hikmah yang telah banyak berjasa kepada dunia Islam dan umat keseluruhannya.

“Mewakili rakyat Malaysia, saya menzahirkan simpati dan takziah buat seluruh warga Arab Saudi serta umat Islam di seluruh dunia yang pastinya menangisi pemergian besar ini,” katanya.

Anwar turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Sheikh Abdulaziz dan menempatkan beliau dalam kalangan para anbiya dan solihin.

Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh telah menyandang jawatan Mufti Besar Arab Saudi sejak tahun 1999 dan dikenali sebagai tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang ilmu, fatwa dan pembangunan pemikiran Islam kontemporari.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi, solat jenazah telah diadakan di ibu negara Riyadh serta di masjid-masjid seluruh negara pada hari Selasa sebagai penghormatan terakhir kepada beliau.

“Kerajaan Arab Saudi dan dunia Islam telah kehilangan seorang ulama terkemuka yang banyak menyumbang dalam perkhidmatan ilmu, Islam dan umat Islam,” menurut kenyataan agensi itu.

Pemergian Sheikh Abdulaziz bukan sahaja dirasai oleh rakyat Arab Saudi tetapi juga oleh umat Islam di seluruh dunia yang menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam memperkukuh syariat dan memperluas kefahaman Islam secara hikmah dan berhemah.

Anda Mungkin Berminat