MASIH ada harapan untuk Malaysia meraih pingat emas pertama di Olimpik Paris 2024, kekal cerah, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menyandarkan kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Hannah menyatakan keyakinannya terhadap the Pocket Rocketman itu.
“Saya tidak pernah risau dengan beliau kerana kesungguhan beliau, kematangan beliau dan kali ini RTG kita telah terbangkan pakar jantung untuk menjaga Datuk Azizulhasni, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon dari Institut Jantung Negara yang sampai hari ini. Saya percaya dia boleh melakukannya,” katanya, memetik Berita RTM.
Dalam masa sama, Hannah menegaskan tidak wujud isu pihaknya terlalu memberi tekanan kepada Azizul memandangkan mereka memiliki hasrat yang sama.
Berbekalkan reputasi selaku pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin, pelumba berusia 36 tahun itu kini merupakan satu-satunya harapan negara untuk meraih pingat emas pertama Olimpik buat negara.
Setakat ini, Malaysia mendapat dua pingat gangsa menerusi badminton perseorangan lelaki dan beregu lelaki iaitu Lee Zii Jia dan pasangan Aaron Chia-Wooi Yik.