Kita raikan semua pelajar tanpa mengira keputusan peperiksaan – Fadhlina

Oleh : Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Semua pelajar, tanpa mengira keputusan peperiksaan, wajar diraikan kerana setiap usaha yang mereka lakukan menyumbang kepada kecemerlangan dan pencapaian keseluruhan sekolah, daerah, dan negeri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa pencapaian pelajar tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi juga melalui usaha dan komitmen mereka sepanjang tempoh pembelajaran.

“Saya tidak mahu fokus pada yang tidak cemerlang, tetapi saya tetap ingin mengucapkan tahniah kepada semua anak-anak, ibu bapa, dan guru-guru,” kata Fadhlina.

“Keputusan mereka menyumbang kepada gred purata sekolah, daerah, dan negeri. Oleh itu, keputusan mereka sangat penting, dan saya berharap semua pelajar akan meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tidak kira apa pun keputusan mereka. Kami akan memberikan sokongan penuh,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa semua pelajar wajar diraikan, kerana setiap daripada mereka telah berusaha untuk mencapai keputusan masing-masing, yang turut menyumbang kepada kelayakan, kelulusan, dan kejayaan.

“Keputusan ini adalah untuk memberi semangat kepada pelajar agar terus melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau lagi ketika ditemui selepas meninjau penyerahan slip keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang, pada Khamis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat