Oleh: Aliyaa Azmi
SHAH ALAM: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tampil lantang menyatakan pendiriannya untuk menyatupadukan parti, dengan menolak budaya perpecahan dalaman yang sering melanda menjelang pemilihan.
Ketika berucap dalam Program Temu Rapat Akar Umbi di Dewan Raja Muda Musa semalam, Nurul Izzah menegaskan sudah tiba masanya untuk menamatkan perbalahan sesama sendiri dan memberi tumpuan kepada ‘lawan sebenar’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Team A, B, C saya dah bomkan semua, sebab kita adalah Keadilan, kita perlu garap” katanya dengan nada tegas, menerima sorakan semangat daripada ahli akar umbi yang hadir.
Menurut beliau, kekuatan sebenar PKR bukan hanya pada semangat juang, tetapi terletak pada keupayaan untuk membina jambatan perpaduan dan memperkukuh jentera parti.
“Kita perlu bina jambatan, tema kita ialah tempur lawan sebenar. Kita harus ada kuasa dan kebolehan untuk berunding, berdiplomasi, dan membina kerajaan di peringkat pusat mahupun negeri,” katanya.
Ucapannya itu turut memberi isyarat jelas bahawa beliau mahu membawa hala tuju baharu dalam parti dengan menumpukan kepada penyatuan semua lapisan – termasuk wanita, anak muda dan kumpulan akar umbi yang selama ini menjadi tulang belakang perjuangan parti.
Program berkenaan turut dihadiri pimpinan utama PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menggariskan sasaran untuk menawan sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang.
Dengan pemilihan parti semakin hampir, Nurul Izzah dilihat muncul sebagai tokoh yang berani memecah tradisi lama, menekankan semangat kolektif dan menolak budaya berpuak-puak yang boleh melemahkan jentera.
Baca juga: