KKDW Cadang Tubuh Malaysia-China Institute, Kukuh Kerjasama Dua Negara

PETALING JAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencadangkan penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) sebagai platform strategik memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dibangkitkan dalam sesi perbincangan bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing pada Khamis.

“Hari ini saya telah mengadakan sesi perbincangan bersama TYT Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia bagi membincangkan kerjasama strategik dua hala khususnya berhubung cadangan penubuhan Malaysia-China Institute (MCI),” katanya.

Menurut beliau, fokus utama perbincangan adalah memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi.

Difahamkan, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk sebelum kampus tetap dibangunkan di atas tanah seluas 60 ekar.

Institut itu disasarkan mampu menampung sehingga 2,000 pelajar.

Menurut Ahmad Zahid, kerjasama TVET yang dibincangkan merangkumi pembangunan modal insan, latihan tenaga pengajar, sokongan peralatan serta pemindahan kemahiran teknikal.

Ia turut melibatkan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke institut berkenaan.

“Kedua-dua pihak berpandangan penubuhan MCI berpotensi menjadi pemangkin kepada pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi Malaysia dan China,” katanya.

Sebanyak 18 bidang TVET dikenal pasti untuk pelaksanaan awal, antaranya automotif, kenderaan elektrik (EV), automasi industri, tenaga solar, robotik, Internet of Things (IoT) serta agroteknologi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah susulan persetujuan Malaysia dan China menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama.

Ia turut melibatkan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat serta memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Anda Mungkin Berminat