Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mendapat pengiktirafan Buku Rekod Malaysia (MBR) dalam menghasilkan Jalur Gemilang Terpanjang sepanjang 129 meter dengan menggunakan bahan terpakai iaitu sebanyak 171,823 penutup botol minuman.
Bersempena bulan kemerdekaan KKDW telah mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung pada 31 Ogos 2024 di Dataran Putrajaya.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua penjawat awam khususnya warga KKDW untuk memerdekakan pemikiran dan tindakan daripada sekadar meneruskan perkara sedia ada.
“Jiwa merdeka harus memiliki kemahuan kuat untuk mencipta kelainan dan melaksanakan perubahan besar dari semasa ke semasa.
“Saya juga mengambil kesempatan yang ada untuk mengucapkan tahniah kepada warga KKDW yang telah memperoleh pengiktirafan Malaysia Books of Records dalam menghasilkan Jalur Gemilang Terpanjang iaitu 129 meter dan terbanyak menggunakan bahan terpakai iaitu 171,823 penutup botol,” katanya.
Beliau turut meletakkan harapan agar warga KKDW akan terus menjadi peneraju dalam membawa transformasi luar bandar dan wilayah.
“Semoga semangat kemerdekaan ini sentiasa menjadi pendorong untuk kita terus maju, demi masa depan yang lebih gemilang sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. Insya-Allah,” katanya.