PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja pada Khamis bagi memastikan kesejahteraan warga kerjanya sentiasa terpelihara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, buli di tempat kerja bukan isu terpencil, sebaliknya gangguan sistemik yang boleh melemahkan motivasi, meruntuhkan integriti organisasi dan menjejaskan mutu penjagaan pesakit.
“Dalam perkhidmatan kesihatan, implikasi buli amat serius. Apabila anggota tertekan, rakyat juga akan terkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, KKM mengambil pendirian tegas iaitu sifar toleransi terhadap buli. Garis panduan tersebut menyediakan tatacara mengenal pasti, melaporkan, menyiasat dan menangani kes secara telus dan adil.
Dengan pelancaran ini, KKM menjadi kementerian pertama dalam perkhidmatan awam yang memperkenalkan garis panduan khusus bagi pengurusan kes-kes buli.
Lebih penting, garis panduan tersebut turut dijangka menjadi model rujukan kepada kementerian dan agensi lain. KKM sedia berkongsi kepakaran serta bekerjasama bagi memperkukuh tatacara pengurusan buli di seluruh sektor awam.
“Budaya buli bertentangan sama sekali dengan nilai MADANI yang berteraskan maruah insan, ihsan, empati dan integriti. Tiada toleransi terhadap buli di KKM. Noktah,” tegas beliau.
Pelancaran garis panduan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti dan sihat di KKM.
Baca juga: